Antara fasa yang paling memenatkan dan merisaukan oleh kebanyakan ibu bapa ialah fasa anak tantrum. Anak-anak akan bertindak agresif dan mengamuk tidak kira masa dan tempat. Mereka cenderung untuk menangis dan mengamuk dalam jangka masa yang agak panjang.
Tantrum adalah perilaku yang biasanya ditunjukkan oleh anak-anak yang bersaa kecewa, tertekan dan mereka tidak dapat untuk ekspresikan dan menyuarakan kemahuan mereka dengan jelas. Anak-anak yang sedang mengamuk cenderung untuk merengek, menangis, berteriak dan berkebolehan untuk merosakkan barang berhampiran dan di sekitar mereka. Tantrum adalah respons emosional yang kuat dan kadang kala sangat sukar untuk dikendalikan oleh anak-anak kerana mereka masih tidak mampu untuk mengawal emosi mereka sepenuhnya.
Anak-anak yang berusia dari usia dua hingga empat tahun seringkali alami fasa tantrum, tetapi masih ada kebarangkalian untuk anak-anak yang usia lebih dewasa juga akan bertindak sama. Ianya boleh barlaku sama ada di rmah atau di tempat umum, bergantung pada situasi yang boleh menyebabkan anak berasa kesal, kecewa atau tidak dapat penuhi kehendak mereka dan menyebabkan mereka gagal untuk kawal emosi. Berikut adalah punca kenapa anak anda tantrum.
Punca Tantrum Berlaku Pada Anak
In this Article
- Anak masih tidak mampu ungkapkan perasaan mereka dalam perkataan atau secara verbal dan menyebabkan anak-anak tidak tahu cara yang betul untuk menyampaikan perasaan mereka yang tidak puas hati dan kurang nyaman.
- Rasa lapar dan penat yang buatkan anak tidak selesa dengan diri mereka.
- Perubahan dalam rutin harian mereka yang menyebabkan anak berasa keliru seperti pindah tempat tinggal, masuk sekolah baru dan sebagainya.
- Tidak setuju atau kecewa terhadap orang sekelilingnya seperti orang tua atau guru mereka.
- Tidak dapat sesuatu yang mereka mahukan.
- Kurang perhatian atau interaksi daripadaorang tuanya yang terlalu sibuk dan kerap bersama gajet.
- Gagal dan tidak tahu cara untuk mengawal perasaan mereka.
Mungkin ada ibu bapa yang hampir putus asa untuk keluar beriadah atau pun makan di restoran kerana risau kebarangkalian untuk anak meragam dan mengamuk di tempat umum dan menyebabkan orang persekitaran mereka tidak selesa dan menimpa malu terhadap diri sendiri. Ibu bapa tak perlu risau, masih ad acara untuk tenangkan dan atasi masalah anak tantrum. Ibu bapa dan pengasuh dapat membantu anak mereka untk atasi masalah anak mengamuk dengan cara memahami punca anak tantrum dan berikan anak-anak perhatian dan bantu dari segi emosional anak. Berikut adalah beberapa cara yang dapat atasi masalah anak tantrum.
Cara Atasi Masalah Tantrum Anak
- Bina dan cipta ruang selamat dan tenang untuk anak. Bila anak dalam keadaan yang sedang mengamuk, elakkan daripada kawasan yang bising dan hingar bingar kerana boleh meningkatkan tekanan dan frustrasi anak.
- Biarkan anak berbicara. Salah satu sebab anak mengamuk adalah kegagalan mereka dalam meluahkan apa yang mereka mahu dan tidak mampu mengawal emosi mereka. Ajar anak untuk berbicara dan luahkan perasaan mereka. Ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam menjadi seorang pendengar yang baik. Cuba untuk memahami perspektif anak-anak.
- Jangan berikan hukuman. Jika anak sedang tantrum, hukuman yang dikenakan kepada anak mungkin tidak akan efektif dan sia-sia. Hal ini kerana mereka tidak akan mengambil iktibar daripada hukuman tersebut, sebaliknya mereka akan lebih berasa tertekan dan frust kerana ibu bapa tidak mahu cuba untuk memahami kondisi anak pada waktu itu. Hal ini akan menambah buruk situasi.
- Alihkan perhatian. Ketika anak sedang tantrum, cuba cari sesuatu perkara yang boleh alihkan perhatian anak dari terus tantrum. Ibu bapa boleh cuba dengan memberi buku atau mainan kesukaan anak-anak. Elakkan daripada beri gajet kepada anak untuk hindari anak daripada terjerumus dalam ketagihan gajet.
- Dukung anak. Ada masa, sentuhan juga berhasil dalam tenangkan anak yang sedang tantrum. Dukung dan peluk anak dengan penuh kasih sayang dan ajak anak untuk berbual dan ajar untuk kawal emosi.
- Sabar dan tenang. Pastikan ibu bapa jadi contoh yang baik kepada anak-anak dengan kawal emosi. Jika anak hilang kawalan dan tantrum, jangan libatkan diri dalam perdebatan atau melawan kehendak anak. Penting untuk ibu bapa mendengar apa yang ingin diluahkan oleh anak-anak.