Tantrum adalah sangat normal bagi kalangan bayi dan selalunya bukan dalam tempoh yang kekal (walaupun hakikatnya rasa macam lama bagai tiada esok hari). Adalah sangat normal jika kanak-kanak berusia 18 bulan hingga 5 tahun menunjukkan tantrum sebelum waktu tidur kerana pada usia beginilah mereka mula mempunyai keinginan untuk bebas melakukan apa-apa yang mereka kehendaki di samping menginginkan perhatian daripada ibu. Oleh itu, apa yang harus dilakukan jika berhadapan dengan anak tantrum pada malam hari?
10 Petua Menenangkan Anak Tantrum Waktu Tidur
In this Article
-
Bertenang
Jika berhadapan dengan anak yang sedang tantrum, ketahui bahawa jika anda balas situasi tersebut dengan kemarahan, ia hanya akan memburukkan keadaan. Oleh itu, seorang ibu perlu bersabar dalam melayan mereka dengan merendahkan nada suara untuk meredakan mood marah anak. Jika anda tidak mampu mengawal rasa marah, seeloknya minta bantuan suami untuk menenangkan mereka.
-
Yakin bahawa anda masih mampu mengawal keadaan
Mentaliti anda sangat memainkan peranan dalam mengawal tantrum anak. Jika anda fikir anda mampu menenangkan mereka, anda akan cuba sedaya upaya mencari solusi terhadap permasalahan tersebut sehingga selesai. Oleh itu, anda perlu yakin bahawa anda masih mampu mengawal amarah si kecil kerana ia akan mencerminkan tindakan anda yang seterusnya.
-
Abaikan tingkah laku anak yang negatif
Selalunya anak menunjukkan tantrum kerana mereka menginginkan perhatian daripada orang sekeliling. Mengabaikan tangisan dan jeritan anak bukanlah bermakna anda mengabaikan perasaan mereka tetapi ia merupakan metod untuk mendidik anak untuk mengawal tingkah laku mereka. Sewajarnya anda menghindari daripada memberikan mereka pujian atau hadiah untuk memujuk anak kerana mereka akan menganggap tantrum sebagai saluran untuk mendapatkan apa yang mereka kehendaki. Sebaliknya berikan reaksi yang positif hanya apabila mereka menunjukkan perangai yang elok.
-
Puji anak jika mereka mula bertenang sedikit
Jika tangisan atau jeritan mereka berkurang dan mereka mula memberitahu apa yang mereka inginkan, berikan mereka pujian kerana telah berusaha meluahkan perasaan mereka dengan cara yang difahami.
-
Sabar dalam berkomunikasi dengan anak
Gunakan nada yang rendah dan lembut ketika melayan mereka agar dapat menurunkan tantrum mereka sedikit demi sedikit dan meneruskan komunikasi yang lancar. Jika anda menunjukkan kawalan perasaan yang baik, mereka akan terdidik untuk belajar mengawal perangai mereka sendiri.
-
Cari punca mengapa anak tantrum
Jika mereka tidak memberitahu apa yang mereka inginkan, perhatikan sekeliling anak untuk mengetahui puncanya. Tanya mereka satu persatu punca mengapa mereka tantrum seperti “Sakit ke? Lapar? Tak mengantuk?” Mengenal pasti puncanya adalah sangat penting untuk menunjukkan bahawa anda dengar akan luahan hati mereka.
-
Pastikan mereka dapat tidur yang secukupnya
Tidak cukup tidur merupakan punca anak menunjukkan perangai yang negatif seperti tantrum. Oleh itu, tinggalkan rancangan televisyen kegemaran anda untuk menidurkan mereka agar mereka bangun dengan mood yang ceria pada keesokan harinya.
-
Pastikan anak diberikan dengan diet pemakanan yang seimbang
Pemakanan yang tidak seimbang merupakan salah satu punca anak tantrum. Oleh itu, anda seharusnya mengawal diet mereka dengan memberikan makanan yang sihat dan mengelakkan makanan yang manis sebelum tidur kerana ia akan menjadikan mereka hyperactive dan tidak mahu tidur.
-
Berhubung dengan anak
Meskipun si manja berkehendakkan kebebasan dalam berbuat apa yang mereka suka, tetapi mereka tetap memerlukan perhatian anda. Jika anda bekerja seharian, peruntukkan waktu yang secukupnya pada waktu petang dan malam untuk bermain dengan mereka agar mereka mendapat perhatian yang cukup dan tidak mencari jalan untuk mendapatkannya melalui tantrum.
-
Wujudkan rutin sebelum waktu tidur
Adakan rutin yang konsisten tiap-tiap kali sebelum tidur seperti berus gigi, tukar kepada baju tidur, baca buku cerita dan ucap selamat malam. Berikan mereka kebebasan dalam memilih seperti baju yang mereka ingin pakai atau buku yang mereka ingin baca. Ia akan melatih mereka bahawa waktu tidur telah masuk dan dapat mewujudkan mood untuk tidur.
Kesimpulan
Jika anda mempunyai anak yang selalu tantrum sebelum waktu tidur, anda perlu bijak dalam mengawal amarah si kecil, iaitu dengan sentiasa bertenang dan berkomunikasi dengan nada yang rendah dan lembut. Mewujudkan rutin harian turut dapat membantu mengurangkan tantrum anak dalam jangka waktu panjang kerana anak-anak gemar akan perkara yang boleh dijangka. Tidur yang cukup serta diet yang sihat turut membantu dalam perkembangan emosi anak yang baik.