Wanita yang baru lepas bersalin kebiasaannya akan berusaha menjaga kesihatan diri dengan mematuhi amalan ketika berpantang. Pemakanan yang baik merupakan kunci utama untuk membolehkan wanita terus kekal sihat selepas bersalin. Wanita yang berpantang selepas bersalin memerlukan zat nutrisi daripada makanan yang berkhasiat untuk kebaikan ibu dan juga anak. Hal ini kerana, pemakanan yang berkhasiat akan mengembalikan semula tenaga dan mencapai tahap kesihatan yang lebih baik. Tempoh amalan berpantang mengambil masa di antara 10 hingga 45 hari yang bertujuan untuk mempercepatkan proses penyembuhan fizikal selepas bersalin dan menghindari masalah kesihatan pada masa hadapan.
1. Beras Perang
In this Article
Beras perang antara makanan pantang terbaik yang boleh diamalkan oleh ibu selepas bersalin kerana lebih bernutrisi berbanding beras putih. Beras perang mengandungi serat yang mudah larut untuk menyerap air di dalam usus supaya najis tidak menjadi keras sekaligus melawaskan dan mengelakkan sembelit selepas bersalin. Sistem penghadapan yang berfungsi dengan baik akan memastikan perut sentiasa berada dalam keadaan yang sihat.
2. Roti Wholemeal
Selain makan nasi untuk hidangan utama makanan berpantang, ibu lepas bersalin juga boleh mengamalkan pengambilan roti wholemeal yang mengandungi banyak protein dan vitamin yang tidak terdapat dalam roti putih. Roti ini merupakan sumber yang sangat baik untuk zat besi, vitamin, kalsium dan protein. Kandungan serat yang sangat tinggi dalam roti juga sangat baik untuk sistem pencernaan. Serat-serat dalam roti bertindak dengan kuat dalam peredaran pergerakan usus yang dapat mengurangkan sembelit dan cirit-birit.
3. Salmon, Ikan Tenggiri dan Tuna
Komponen protein dalam sajian seharian juga penting untuk memastikan ibu sentiasa kekal bertenaga sepanjang hari. Protein membantu untuk mengekalkan jisim otot, melindungi kesihatan tulang dan membantu penyembuhan badan selepas kecederaan. Pengambilan ikan salmon bukan saja berkhasiat tetapi memiliki sumber protein yang berkualiti tinggi. Ikan tenggiri dan tuna juga antara pilihan yang bagus sebagai lauk dalam makanan berpantang kerana ia memperbaiki fungsi otak dan membina sistem saraf bayi.
4. Buah-buahan
Buah-buahan dengan warna yang terang seperti anggur, betik dan blueberries sangat berkhasiat untuk ibu berpantang kerana mengandungi antioksidan yang tinggi. Makanan yang kaya dengan antioksidan akan menguatkan kesihatan jantung, merendahkan risiko jangkitan dan kanser. Buah oren juga juga boleh diamalkan kerana mengandungi vitamin C yang tinggi untuk memulihkan semua tisu dalam badan ibu berpantang dan mempercepatkan pemulihan luka. Mungkin ada yang menganggap bahawa buah-buahan ini tidak sesuai diamalkan ketika berpantang kerana bersifat ‘sejuk’. Namun begitu, buah-buahan ini sebenarnya mengandungi serat dan sumber vitamin yang tinggi yang perlu diambil sekurang-kurangnya 2 hidangan buah pada setiap hari.
5. Sayuran Hijau
Semasa berpantang, ibu memerlukan zat dan nutrien daripada sayur-sayuran untuk pemulihan diri dan dalaman untuk menghasilkan susu ibu yang berkualiti untuk bayi. Sayuran hijau seperti sawi hijau, bayam, kucai, serta ulam-ulaman seperti pegaga, daun cekur dan ulam raja patut ditambahkan ke dalam menu harian. Ia bukan saja tinggi antioksidan, vitamin, serta mineral, bahkan ia turut memiliki sumber kalsium yang penting untuk tubuh dan rendah kalori. Sayur-sayuran mengandungi serat untuk mengelakkan sembelit, menggantikan darah yang hilang selepas bersalin dan mempercepatkan penyembuhan luka. Vitamin-vitamin seperti Vitamin A, B1, B2 dan B6, dan C, asid folik, zat besi dan garam galian (seperti kalium) yang terkandung dalam sayur-sayuran juga dapat membantu.
6. Kekacang
Kalau teringin nak makan snek, pilihlah daripada sumber yang sihat seperti kacang badam, walnut, kuaci, atau pistachio. Semua jenis kekacang sihat seperti ini dapat membantu menstabilkan paras glukos dalam darah, menyeimbangkan tindak balas elektrolit dalam tubuh di samping meningkatkan kadar metabolisme serta fungsi tubuh dan otak.
7. Buah-buahan Kering
Buah-buahan kering mampu membantu meningkatkan kesihatan tubuh badan dan mengurangkan risiko penyakit merbahaya apabila dimakan secara berterusan. Kurma adalah antara pilihan buah-buahan kering yang terbaik untuk ibu selepas bersalin. Buah kurma mampu memberikan sumber tenaga yang baik kerana mengandungi kandungan glukosa yang tinggi untuk memulihkan tenaga yang hilang. Selain daripada memberikan tenaga, ia juga membantu merangsang penghasilan susu badan kerana mengandungi satu nutrisi yang dikenali sebagai tryptophan. Buah-buahan kering seperti kismis, aprikot kering, buah tin dan pelbagai lagi boleh diamalkan kerana kaya dengan vitamin, protein, mineral dan serat yang boleh dijadikan snek berkhasiat. Buah-buahan kering ini amat sesuai ditambahkan bersama bijirin atau oat yang boleh dinikmati semasa sarapan pagi.
Ibu dalam pantang dinasihatkan agar tidak mengamalkan pantang larang pemakanan yang keterlaluan sehingga mengehadkan jumlah pengambilan makanan, air atau tidak mengambil sumber makanan daripada kumpulan makanan yang tertentu. Amalan pemakanan secara sihat perlu diamalkan untuk ibu selepas bersalin agar sentiasa cergas, ceria dan sihat semasa dalam pantang.