Ibu bapa pasti teruja di setiap fasa perkembangan bayi mereka dari mampu tertepuk tangan sehinggalah pandai berjalan. Namun, satu fasa yang bakal menjadi cabaran buat anda adalah apabila mereka mula tumbuh gigi. Kebiasaannya, gigi kanak-kanak mula tumbuh sekitar usia 6 bulan. Sekitar usia begini jugalah bayi anda akan kerap sakit terutamanya demam kerana mereka mula terdedah kepada pelbagai kuman dan virus lantaran antibodi yang diterima daripada ibu sewaktu dalam kandungan sudah mula menyusut. Walaubagaimana pun, bagaimana hendak membezakan ianya demam tumbuh gigi atau demam yang lebih serius?
5 Petanda Bayi Anda Tumbuh Gigi
In this Article
Terdapat beberapa petanda yang menunjukkan gigi bayi anda sedang tumbuh gigi antaranya:
-
Suka mengigit
Bayi yang baru tumbuh gigi akan merasa iritasi pada gusi mereka. Oleh itu, mereka akan cuba untuk mehilangkan rasa tidak selesa itu dengan mengunyah sesuatu yang pejal yang mereka jumpai termasuklah jari mereka sendiri.
-
Tidur tidak lena
Ketidakselesaan pada gusi tersebut bukan sahaja berlaku pada pagi hari, malah turut berlaku pada waktu malam sehingga menyebabkan mereka terjaga dan meragam. Apa yang anda boleh lakukan adalah dengan membiarkan seketika sebelum menenangkan mereka supaya dapat melatih mereka untuk tidur semula tanpa bantuan anda.
-
Kenaikan suhu badan
Kajian menunjukkan kebanyakan bayi yang tumbuh gigi akan mengalami kenaikan suhu badan pada hari gigi mula tumbuh dan hari sebelumnya. Namun begitu, suhu mereka tidak akan melebihi 38 darjah Celsius. Oleh itu, jika bayi anda mengalami demam melebihi 38 darjah Celsius, berjumpa dengan doktor adalah sangat digalakkan.
-
Air liur meleleh
Apabila gigi si kecil mula tumbuh keluar daripada gusi, air liur terhasil dengan lebih banyak untuk melembapkan dan melegakan gusi yang terengsa tersebut. Air liur yang meleleh akan menyebabkan pertumbuhan ruam sekitar mulut mereka. Oleh itu, ibu bapa boleh mendapatkan krim daripada farmasi untuk menghilangkan ruam tersebut.
-
Kurang berselera
Ketika menyusukan si kecil, mereka mungkin akan menggigit puting payudara si ibu atau menggigit-gigit puting botol susu mereka namun tidak meminumnya. Hal ini kerana mereka lebih fokus untuk melegakan iritasi pada gusi mereka dengan menggigit benda yang pejal.
Bagaimana untuk Membantu Si Kecil yang Tumbuh Gigi?
Anda boleh membantu melegakan kesakitan yang dihadapi si manja dengan beberapa cara berikut antaranya:
-
Kerap menyusukan mereka
Ibu seharusnya terus menyusukan bayi yang baru tumbuh gigi kerana mereka memerlukan sesuatu untuk melegakan sakit pada gusi mereka. Si ibu perlu berkorban lebih kerana merasa sakit apabila si kecil sudah mula untuk cuba menggigit. Hal ini kerana mereka sangat memerlukan tumpuan daripada seorang ibu untuk menenangkan dan mengurangkan iritasi yang mereka hadapi.
-
Mengenakan sedikit tekanan pada gusi mereka
Ibu bapa boleh cuba menggosok gusi si kecil dengan menggunakan jari yang bersih secara perlahan-lahan untuk mengurangkan rengsa pada gusi mereka. Cara ini merupakan cara yang terpantas untuk memberikan kelegaan sementara buat bayi anda.
-
Memberikan mainan getah yang pejal dan selamat
Ibu bapa boleh menyediakan mainan getah pejal yang bebas BPA serta selamat untuk bayi anda agar mereka boleh menggigit mainan tersebut untuk menghilangkan rasa tidak selesa pada gusi mereka. Kebanyakan mainan getah di pasaran mempunyai bentuk seperti gegelang untuk memudahkan si kecil memegang mainan tersebut di samping menguatkan pegangan tangan mereka.
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Berikut adalah gejala-gejala yang tidak berkaitan dengan demam tumbuh gigi antaranya:
- Kenaikan suhu melebihi 38 darjah Celsius
- Muntah dan cirit-birit
- Ruam yang berpanjangan
- Hidung berhingus
- Menangis yang keterlaluan
- Kepenatan
Jika bayi anda mengalami simptom-simptom seperti di atas, berkemungkinan mereka bukan demam kerana tumbuh gigi tetapi menghidapi demam yang lebih serius. Oleh itu, saranan kepada ibu bapa agar segera membawa bayi anda berjumpa doktor untuk mendapatkan preskripsi ubat yang sesuai.
Kesimpulan
Kesimpulannya, ibu bapa perlu cakna apabila bayi anda mula menunjukkan petanda-petanda untuk tumbuh gigi dengan memberikan mereka kelegaan daripada iritasi pada gusi mereka. Namun hal yang demikian, jika suhu badan mereka melebihi 38 darjah Celsius serta menunjukkan simptom-simptom yang lebih teruk, seeloknya anda dapatkan khidmat doktor yang terlatih untuk mendapatkan diagnosis yang sebenar.