Warna najis bayi dan tahap kekerasannya boleh berubah-ubah untuk beberapa hari, minggu atau berbulan-bulan selepas lahir. Tetapi adakah sesetengah warna najis normal untuk bayi? Perlukah ibu risau?
Kenapa Warna Najis Bayi Berubah?
In this Article
Sebab utama perubahan warna najis bayi adalah faktor umur, diet pemakanan, dan tahap kesihatan bayi. Najis bayi yang baru lahir biasanya hampir berwarna hitam, manakala bayi yang lebih besar lebih cenderung untuk najisnya berwarna kuning atau coklat.
Selain itu, susu ibu dan susu formula juga boleh mempengaruhi warna najis bayi. Akan tetapi, ada warna-warna yang ibu perlu beri perhatian kerana ia boleh menjadi petanda masalah kesihatan lain.
Warna Najis dan Punca
Ada banyak faktor yang boleh sebabkan warna najis bayi bertukar. Mari terus baca untuk mengetahui 6 jenis warna najis bayi yang berbeza.
Warna Hitam
Warna hitam adalah normal bagi najis bayi yang baru lahir kurang dari seminggu. Selepas seminggu jika ia masih berterusan ia menandakan bayi ada masalah kesihatan lain.
Bayi akan membuang mekonium selepas dilahirkan selama 24 jam, iaitu najis tebal berwarna hitam. Mekonium ini terdiri daripada sel, cecair amniotik, hempedu, dan mukus yang telah ditelan bayi semasa dalam kandungan. Mekonium ini adalah steril, jadi biasanya tidak berbau.
Untuk beberaoa hari pertama, bayi baru lahir akan terus membuang mekonium, dan warnanya akan berubah secara beransur-ansur dari hitam ke hijau gelap, dan kemudian kuning.
Najis bayi sepatutnya tak lagi berwarna hitam selepas seminggu. Jika anak masih mengeluarkan najis berwarna hitam, ia menunjukkan anak tak sihat. Ini juga boleh menunjukkan adanya pendarahan dalam sistem pencernaan.
Warna Kuning
Warna kuning adalah warna najis yang normal bagi bayi yang sedang menyusu ibu. Najis anak biasanya berwarna kuning gelap dan ada bintik-bintik kecil dalamnya.
Punca bintik-bintik adalah dari susu ibu dan ianya tak merbahaya. Najis ini dikatakan berbiji seperti lubang pada keju, tetapi ianya berwarna kuning.
Warna Coklat atau Oren
Warna coklat atau oren adalah warna najis yang normal bagi bayi yang menyusu formula.
Najis anak kebiasaannya berwarna coklat terang atau oren. Najis mungkin gelap sikit dan lebih pejal dibandingkan dengan najis bayi yang minum susu ibu.
Warna Hijau
Warna najis hijau juga adalah suatu keadaan yang biasa pada bayi. Antara punca kenapa najis bayi boleh bertukar hijau adalah:
- Penghadaman yang perlahan, biasanya sebab bayi makan lebih banyak dari biasa
- Ibu yang menyusukan anak ada makan makanan warna hijau
- Selsema atau masalah perut
- Alahan atau intoleransi makanan
- Antibiotik, sama adapada bayi atau ibu yang menyusukan anak
- Rawatan untuk demam kuning (jaundis)
Kadangkala bayi akan ada warna hijau sedikit dalam najisnya. Ibu tak perlu risau jika bayi kelihatan sihat dan berat anak juga ada bertambah.
Warna Merah
Najis bayi biasanya berwarna merah kalau ada darah dalamnya. Warna najis bayi yang merah menandakan anak ada masalah kesihatan. Ibu perlu peka dan dapatkan nasihat doktor dengan segera.
Bayi mungkin tak sihat atau ada menelan sedikit darah.Hal ini boleh berlaku jika ibu yang menyusukan anak mempunyai nipple crack atau puting berdarah. Antara punca lain ialah pendarahan di bahagian buang air bayi.
Warna Putih
Najis warna putih boleh menjadi petanda yang anak ada masalah hati. Ini kerana warna putih adalah sangat jarang dan ia bukanlah warna najis yang sihat untuk bayi.
Sekiranya bayi masih menghidapi jaundis atau demam kuning selepas 14 hari, ibu harus memeriksa warna najis bayi. Najis yang berwarna putih mungkin menandakan adanya penyakit hati pada bayi. Tanda-tanda lain yang perlu diperhatikan adalah air kencing yang berwarna kuning pekat atau coklat.
Doktor akan menguji tahap bilirubin untuk bayi yang mempunyai masalah ini. Bilirubin ialah sebatian yang membantu menyingkirkan najis dalam badan. Ada dua jenis bilirubin, dan jika paras salah satunya lebih tinggi dari biasa, ia boleh menyebabkan masalah kesihatan.
Jenis-jenis Najis Bayi
Ada macam-macam jenis tekstur dan ciri-ciri tertentu pada najis bayi. Kalau bayi masih belum mula makan makanan pejal, najis anak biasanya lembut.
Bayi yang minum susu ibu mungkin akan ada najis yang agak cair atau berlendir, manakala bayi yang minum susu formula biasanya akan buang air dengan najis yang lebih pejal, tapi tak keras.
Mukus dalam najis bayi juga biasa dan jarang menunjukkan masalah kesihatan. Namun, jika bayi menunjukkan tanda-tanda tingkah laku yang luar biasa atau sakit, adalah penting untuk bercakap dengan doktor.
Najis yang kering atau keras itu adalah tanda yang bayi tak cukup air atau sedang sakit.
Najis Bayi yang Normal
Bayi yang baru lahir biasanya kerap buang air besar terutamanya lepas menyusu. Bayi yang berumur 3 minggu keatas kebiasaanya boleh membuang air besar antara 8 hingga 12 kali sehari sehinggalah berkurang ke sehari sekali.
Warna najis yang sihat ialah warna kuning, oren, coklat, atau hijau, dan teksturnya mungkin cair ataupun pejal. Najis bayi normal tak sepatutnya keras atau terlalu cair.
Ianya adalah normal bagi bayi untuk kadang-kadang merengus atau mengerutkan dahi semasa buang air besar. Tapi ibu perlu teliti kalau anak selalu merengus atau membuat munyi tk selesa mungkin menunjukkan yang anak ada sembelit.
Bila Perlu Hubungi Doktor?
Warna najis bayi sering berubah warna terutama apabila bayi mula membesar. Ini termasuk apabila bayi mula makan makanan pejal, kerana apa yang dimakan akan pengaruhi warna najis bayi. Makanan yang tidak dicerna perut bayi boleh menjadi faktor berubahnya warna najis bayi.
Warna yang tak normal macam warna hijau tak semestinya disebabkan oleh masalah kesihatan. Warna najis boleh berubah-ubah dalam jangka masa yang pendek sebelum kembali ke warna asal
Warna putih, merah dan hitam adalah tak normal. Ibu perlu peka dengan tahap kesihatan terutamanya jika anak ada masalah kesihatan lain. Selain itu, lendiran yang berlebihan dan berterusan juga menunjukkan tahap kesihatan yang membibamgkan.
Ibu perlulah menghubungi doktor jika risau dengan tahap kesihatan bayi.
Kredit: Medical News Today
Baca Juga: